mutakhir

Bebas virus zika

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Jitra: Malaysia masih bebas daripada penularan virus zika yang disebar melalui Aedes dan kini dikesan di Amerika Latin.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, setakat ini virus itu tidak dikesan di negara ini, namun langkah pencegahan tetap diambil sama seperti mengawal wabak denggi.

Menurutnya, virus itu juga disebarkan melalui Aedes dan dengan menghapuskannya, ia dapat mencegah penularan wabak itu sama seperti dilakukan dengan pencegahan denggi.

“Mereka yang dikesan menghidap demam denggi juga boleh dikesan sama ada dijangkiti virus zika melalui ujian darah dibuat di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan di Hospital Sungai Buloh (Selangor).

“Proses ujian mengenal pasti virus zika sama seperti dibuat terhadap denggi di makmal berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Terbuka Hospital Jitra, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum.

Dr Hilmi berkata, melalui ujian makmal diadakan itu, sehingga kini Malaysia bebas daripada ancaman virus zika dengan tiada laporan mengenainya diterima.

“Kami turut mengambil langkah berwaspada terhadap virus zika dengan memantau kemungkinan penyebarannya termasuk di lapangan terbang dengan memeriksa kemasukan individu melalui mesin pengimbas suhu sedia ada,” katanya.

Virus itu kini dikesan menular di negara Amerika Latin khususnya Brazil dan disebarkan Aedes yang turut mempunyai beberapa persamaan dengan demam denggi.

Simptom virus zika adalah pening, ruam, demam dan sakit belakang dan sehingga kini dilaporkan tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitannya.

Disiarkan pada: December 21, 2015 @ 7:25am
d