mutakhir

Rahsia tiga SK cemerlang

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Pasir Puteh: Hanya satu rahsia utama dipegang tiga sekolah yang mencatat kejayaan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu bagi daerah ini iaitu kerjasama erat ibu bapa dan guru.

Tanpa mengenal bangsa dan latar belakang keluarga, tiga sekolah luar bandar ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 1, SK Tualang Tinggi dan SK Cherang Ruku membuktikan tiada yang mustahil jika semua pihak berusaha demi kejayaan besar anak-anak.

Hasilnya, 36 murid SK Kamil 1 memperoleh 5A, diikuti 21 murid SK Tualang Tinggi dan 13 murid SK Cherang Ruku turut menggenggam kecemerlangan itu.

Malah, SK Tualang tinggi yang rata-rata muridnya adalah anak petani muncul sebagai sekolah cemerlang daerah Pasir Puteh apabila Gred Purata Sekolah (GPS) UPSR lalu mencatatkan 1.59 mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 2.27.

Rahsia kejayaan ini adalah pembabitan aktif ibu bapa dalam semua aktiviti anjuran sekolah dan ia diperhebatkan lagi selepas Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah diperkenalkan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Anjakan ke-9 pelan itu yang menuntut ibu bapa, komuniti dan swasta bekerjasama secara meluas dalam pembelajaran murid banyak membantu tiga sekolah ini meraih kejayaan.

Berkongsi kejayaan hasil kerjasama padu sekolah dan ibu bapa, Wan Rahadzi Wan Muda, 44, bapa Wan Nur Izara, 12, berkata, dia tidak pernah lokek meluangkan masa ke sekolah sekiranya dipanggil guru.

“Anak kedua saya belajar di SK Cherang Ruku dan baru-baru ini memperoleh 5A dalam UPSR kerana ibu bapa sentiasa diberi ruang terbuka untuk hadir ke sekolah bukan saja ketika mahu mengambil rekod prestasi anak malah ketika mempunyai masa terluang.

“Saya kerap ke sekolah untuk berjumpa guru besar dan guru kelas untuk bertanya perihal anak dan berbincang bersama dalam usaha meningkatkan mutu akademik anak,” katanya.

Bagi ibu murid SK Kamil 1, Nurmizan Musannef, 51, anak bongsunya Ain Hayati Ahmad, 11, turut menunjukkan peningkatan tahap pembelajaran sangat memberangsangkan.

“Anak bongsu saya baru tiga tahun masuk ke sekolah ini dan dikategorikan pelajar sederhana, namun berkat persekitaran sekolah yang kondusif dan selesa, prestasi pelajarannya meningkat.

“Saya dapat rasakan dan ia juga disebabkan program dan kerjasama guru dan ibu bapa. Saya sendiri seronok untuk ke sekolah anak setiap kali diadakan aktiviti,” katanya.

Guru Besar SK Kamil 1, Che Samsudin Che Ahmad pula berkata, kejayaan sekolahnya adalah hasil usaha berterusan guru yang kreatif melaksanakan aktiviti pembelajaran dan pengajaran selain ibu bapa yang sentiasa menyokong usaha sekolah.

“Pelbagai usaha kita lakukan untuk memastikan kejayaan murid antaranya kelas tuisyen dan program motivasi.

“Jika ada murid tidak hadir, kami akan ke rumah bertanya khabar. Jika tiada wang, kita akan beri wang saku dan duit minyak kepada ibu bapa. Ini inisiatif yang kami lakukan untuk mengurangkan kadar ponteng murid,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran SK Tualang Tinggi, Tuan Rohani Tuan Man berkata, kejayaan sekolahnya memang didasari kerjasama padu ibu bapa, guru dan komuniti.

Beliau berkata, berada dalam kelompok sekolah kategori luar bandar, memerlukan kesungguhan semua pihak untuk menggalakkan murid bersekolah dan pihaknya beruntung kerana kerjasama mereka membuahkan hasil.

“Ibu bapa secara sukarela sertai aktiviti sekolah dan mengambil tahu perkembangan anak, malah komuniti sekitar juga tidak lokek sumbang tenaga,” katanya.

Tuan Rohani berkata, pihaknya berazam untuk terus mengekalkan kerjasama terbaik itu demi masa depan murid sekolah berkenaan.

Disiarkan pada: December 21, 2015 @ 8:46am
d