mutakhir

Wajah baru Anggerik Mall

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kini dalam usaha menjadikan bangunan Anggerik Mall, di sini, sebagai pusat membeli belah menjelang tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu bertujuan memajukan bangunan milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkenaan yang dilihat kurang mendapat perhatian orang ramai walaupun menawarkan pelbagai barangan jualan.

“Kami mencadangkan supaya beberapa bahagian di bangunan Anggerik Mall itu dijadikan pusat teknologi maklumat yang menjual alatan, aksesori dan perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat.

“Cadangan itu bagaimanapun akan dikaji bagi melihat kesesuaian sama ada gerai jualan boleh diletakkan di dalam bangunan atau di bahagian luar,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan di Anggerik Mall, di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, usaha itu dilakukan bagi mengelak bangunan Anggerik Mall terus terbiar selain membantu peniaga terutamanya golongan Bumiputera.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang untuk menempatkan kafe atau restoran francais berjenama terkemuka serta produk yang berupaya menarik minat orang ramai terutama anak muda ke bangunan berkenaan.

Menurutnya, usaha itu akan dilanjutkan di semua bangunan MARA di setiap negeri yang tidak mendapat sambutan orang ramai.

“Tindakan mewujudkan pusat teknologi maklumat di setiap bangunan MARA antara cadangan terbaik yang mampu menarik perhatian orang ramai,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: December 22, 2015 @ 8:28am
d