mutakhir

Tawau paling hampir

Kota Kinabalu: Pergerakan sesar aktif di sekitar Tarakan, Indonesia yang saling berkait menyebabkan penduduk sekitar Lahad Datu, Tawau dan Semporna merasai gegaran selepas negara jiran dilanda gempa bumi berukuran 6.2 Magnitud, pagi, semalam.

Menurut Pensyarah Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Felix Tongkul, Tawau antara daratan paling hampir menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan turut merasai gegaran.

“Gempa bumi ini berlaku disebabkan pergerakan sesar mendatar bertrend Barat Laut-Tenggara yang berhubung dengan sesar aktif di Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

“Sesar ini adalah selari dengan kajian mengenai kajian pergerakan kerak bumi di Lahad Datu dan Tawau,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, gegaran berpusat di 33 kilometer (km) Utara Kalimantan dan 96 km Barat Daya Tawau jam 2.47 pagi, semalam mengejutkan penduduk Tawau.

Dr Felix berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penduduk kawasan itu akan merasai gegaran susulan kesan daripada gempa bumi.

“Kebiasaan selepas berlaku gempa bumi kuat, pasti gempa susulan akan wujud.

“Ini yang berlaku awal pagi tadi (semalam) apabila gempa bumi pertama direkodkan jam 2.47 pagi sebelum gempa susulan jam 12.21 tengah hari,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2015 @ 8:49am
d