mutakhir

Nama, logo pertubuhan silat gayong diguna berleluasa

Kuala Lumpur: Pertubuhan Silat Sen Gayong Malaysia (PSSGM) tidak mempunyai kaitan dengan Persatuan Seni Silat Gayung Kompleks Sukan Labuan (PSSGKSL).

Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, PSSGKSL tidak pernah berdaftar dengan pertubuhannya.

Beliau berkata, berdasarkan itu, pertubuhan berkenaan tidak mahu dikaitkan dengan insiden kematian seorang remaja yang terkena tikaman rakannya ketika membuat pertunjukan silat di majlis perkahwinan di Labuan, kelmarin.

“Remaja itu mengenakan pakaian yang mempunyai logo PSSGM sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

“PSSGM tidak terbabit dengan kejadian baru-baru ini kerana persatuan berkenaan tidak pernah berdaftar dengan pertubuhan.

“Persatuan itu menggunakan logo pertubuhan, tetapi kita dapat mengenal pasti perbezaan dari segi pemakaian mangsa melalui video yang disebarkan baru-baru ini,” katanya pada sidang media di Kampung Pandan, di sini, semalam.

Adiwijaya berkata, persatuan yang tidak berdaftar di bawah PSSGM tidak sepatutnya menggunakan logo pertubuhan itu supaya tidak timbul kekeliruan.

“Penggunaan logo dan nama pertubuhan digunakan untuk nilai komersial oleh kebanyakan persatuan supaya orang ramai menyertai mereka.

“PSSGM tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana ahli untuk membuat persembahan silat dalam majlis perkahwinan,” katanya.

Justeru, katanya, mana-mana guru atau ahli yang menarik diri daripada pertubuhan dilarang menggunakan nama atau logo PSSGM bagi mengelakkan salah faham.

“Penggunaan nama dan logo pertubuhan juga sangat berleluasa sejak kebelakangan ini sedangkan kebanyakan mereka tidak berdaftar di bawah PSSGM,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2015 @ 9:08am
d