mutakhir

Hanya 1 peratus graduan berniaga

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Konsep baru komuniti, Satu Keluarga Satu Usahawan perlu diwujudkan bagi melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, konsep itu perlu memandangkan golongan muda terutama graduan kini kurang berminat menyertai bidang perniagaan.

Katanya, kajian Kementerian Pendidikan Tinggi pada 2013 mendapati hanya satu peratus daripada keseluruhan graduan institut pengajian tinggi menceburi bidang perniagaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pengajian.

“Daripada jumlah itu, 776 adalah graduan universiti awam, 259 lulusan politeknik dan 126, lulusan kolej komuniti.

“Justeru, usaha perlu dilakukan bagi menerapkan budaya keusahawanan kepada masyarakat dalam usaha untuk memupuk minat mereka menceburi bidang perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penangguhan Kongres Usahawan Muda Bumiputera 2015 (Kongres Muda), semalam.

Menurut Ahmad Zahid, perniagaan yang ada bukan wujud kerana legasi atau diwarisi daripada ahli keluarga terdahulu sebaliknya, keusahawanan adalah satu keterampilan kemahiran yang perlu dibina dan dibentuk.

Kata beliau, untuk merealisasikan hasrat itu mungkin mengambil masa lama iaitu antara satu hingga dua dekad namun ia perlu dimulakan dari sekarang.

“Bila ada seorang usahawan dalam sebuah keluarga secara tidak langsung ia akan memberi pengaruh kepada ahli keluarga lain untuk turut menceburi bidang perniagaan.

“Saya yakin, jika konsep Satu Keluarga Satu Usahawan ini dapat direalisasikan, ia mampu menjadi tonggak kepada negara untuk terus bergerak maju ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, dengan bertemakan Ekonomi Satukan Kita, kongres secara ‘Town Hall’ itu dihadiri usahawan muda seluruh negara bagi membincangkan tiga usul utama mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), persijilan halal dan kewangan.

Kongres itu menjadi wadah bagi usahawan muda tempatan untuk mencerna landskap ekosistem perniagaan baharu.

Kongres Muda 2015 menjadi platform usahawan muda berkongsi maklumat dengan kerajaan.

Disiarkan pada: December 23, 2015 @ 9:15am
d