mutakhir

Rezeki cahaya mata

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: “Perodua Axia dimenangi ini adalah hadiah paling istimewa kerana saya dan isteri bakal menyambut kelahiran anak keempat yang dijadual pada 20 Januari depan,” kata Kamarul Bukhari Yaacob, 39, dari Kampug Rahmat, Setiu.

Kamarul Bukhari pemenang bulanan cabutan bertuah Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurutnya, dia hanya sekali menyimpan di dalam SSP sebanyak RM2,000 sejak 13 tahun lalu dan pernah menebus RM500 dan kini bakinya hanya RM1,500 namun bersyukur kerana rezeki yang diterima ini.

Katanya, selepas ini dia berhasrat menambah simpanannya bagi melayakkannya untuk turut sama menyertai cabutan bonanza berikutan cabutan itu memerlukan simpanan melebihi RM3,000.

“Saya bersyukur dan menganggap Perodua Axia yang diperolehi melalui cabutan November ini hadiah paling istimewa sempena menyambut kelahiran cahaya mata keempat Januari depan.

“Sebelum ini, saya pernah menerima hadiah berupa sijil SSP bernilai RM150, namun kali ini saya tidak menduga akan menerima sebuah kereta,” katanya.

Seorang lagi pemenang, Abdullah Ali, 65, mengakui mula menyimpan di dalam SSP sejak 20 tahun lalu sebanyak RM10,000 dan pernah memenangi sijil SSP dan peralatan elektrik sebelum ini.

“Saya tidak berhajat menjual kereta ini kerana ia kenangan menyimpan di BSN sejak 20 tahun lalu.

“Inisiatif dilakukan BSN dengan menawarkan pelbagai hadiah lumayan bukan saja menarik minat untuk menyimpan malah pada masa sama memperoleh manfaat daripada simpanan yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi BSN negeri Shahrul Anuar Hamid berkata, BSN kini menjalankan kempen cabutan setiap jam bagi memberi lebih banyak pelung untuk menang kepada peyimpan.

“Terbaru BSN memperkenalkan satu kempen khas iaitu kempen SSP Cabutan Setiap Jam sempena penjenamaan semula BSN pada Oktober lalu dan kempen ini akan diadakan dari 16 November hingga 31 Disember depan,” katanya.

Menurutnya, melalui kempen itu semua penyimpan SSP sedia ada dan penyimpan baru layak menyertainya dan simpanan boleh dibuat serendah RM10.

Disiarkan pada: December 24, 2015 @ 9:42am
d