mutakhir

10 sukarelawan ke Eropah

Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

Kuala Lumpur: Menyedari pelarian Syria yang kini berjumlah lebih sejuta orang di Eropah berdepan pelbagai kesukaran untuk meneruskan kehidupan Muslim Care Malaysia Soceity (Muslim Care) mengambil langkah proaktif dengan turun ke lapangan bagi menyalurkan bantuan.

Bermula Sabtu ini hingga 30 Disember depan, rombongan Muslim Care seramai 10 orang termasuk wartawan Harian Metro akan ke menjelajah ke Prague, Republik Czech, Vienna, Austria dan Hamburg, Jerman untuk melaksanakan misi kemanusiaan itu.

Setiausaha Agung Muslim Care, Zakaria Abd Latif berkata sejurus tiba Prague, rombongan ini akan disertai lebih 30 ahli Muslim Care Eropah yang sebahagian besar adalah penuntut Malaysia yang melanjutkan pengajian di benua itu.

“Seperti ramai sedia maklum, pelarian Syria di Eropah kini sudah melebihi sejuta orang dengan sebahagian besarnya di Jerman selain di Perancis, Sweden, Hungary, Czech dan beberapa negara lagi.

“Berdasarkan maklumat wakil Muslim Care Eropah, pelarian Syria ini masih memerlukan bantuan kerana bukan semua mereka menerima perlindungan sewajarnya di negara berkenaan.

“Atas kesedaran itulah Muslim Care menganjurkan misi ini dan kami amat mengharapkan seluruh rakyat Malaysia dapat sama-sama menghulurkan sumbangan kewangan bagi membantu saudara kita yang kini dalam kesususahan,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Muslim Care (Maybank 564490413882 atau menerusi Bank Islam 1401401014740) dan hantarkan mesej mengenai sumbangan ke nombor telefon 012-6935938 (Zakaria) atau 016-9978323 (Johari).

Zakaria berkata, misi ini kesinambungan kepada usaha Muslim Care menyalurkan bantuan kepada pelarian Syria sebelum ini termasuk berkunjung terus ke negara bergolak itu beberapa kali sejak 2013, selain melawat kem pelarian di Turki dan Jordan.

“Ia juga kesinambungan ke atas Misi Kebajikan Dan Dakwah Muslim Care di Poland awal tahun ini, yang kini dalam proses membangunkan Pusat Komuniti Islam utk Pelarian Chechnya di Warsaw, Poland,” kata Zakaria.

Menurutnya, pada masa sama ia juga bertujuan mewujudkan hubungan silaturahim dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Eropah bagi melicinkan lagi setiap usaha membantu pelarian kursusnya dari Syria.

“Selain itu, program ini juga menjadi wadah untuk mendedahkan dan mendidik penuntut Malaysia di Eropah supaya bukan saja prihatin tetapi turut terbabit secara langsung dengan kerja kebajikan sebagai pengisian cuti musim sejuk mereka,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2015 @ 10:05am
d