mutakhir

Lancar setem, sampul surat tema kereta api

Kuala Lumpur: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan koleksi pertama setem bersama sampul surat bertemakan Kereta api-Kereta api di Sabah pada 28 Disember ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Diyana Dean Abdullah berkata, koleksi itu membabitkan imej empat kereta api terkenal dan masih digunakan di Sabah iaitu Hitachi Diesel Hydraulic Locomotive (HDHL), Railbus, Diesel Multiple Unit (DMU) dan Vulcan Steam Locomotive (VSL).

“Tema ini dipilih kerana ia memainkan peranan penting dalam membina ekonomi, pengangkutan dan membantu Kota Kinabalu mencapai status bandar raya.

“Imej berkenaan dicetak pada tiga setem berbeza harga dan satu lagi pada Lembaran Mini,” katanya ditemui di ibu pejabat Pos Malaysia, di sini, semalam.

Menurutnya, setem berkenaan dijual pada harga 60 sen bagi imej HDHL, 70 sen bagi Railbus dan 80 sen bagi DMU manakala bagi Lembaran Mini yang berimej VSL dijual pada harga RM5.

“Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh layari www.pos.com.my atau datang ke mana-mana cawangan Pejabat Pos,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2015 @ 10:12am
d