mutakhir

Diskaun sehingga 70 peratus

Melaka: Ibu bapa yang bercadang mendapatkan buku dan kelengkapan persekolahan boleh mengunjungi Pameran Buku Mega Popular di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, bermula semalam hingga 3 Januari depan.

Pengurus Kanan Projek Popular Book Company (M) Sdn Bhd Helen Goh berkata, pameran itu menawarkan lebih 200 buku pelbagai genre, alat tulis dan gajet elektronik.

Beliau berkata, pihaknya menawarkan diskaun antara 20 hingga 70 peratus selain harga istimewa bagi beberapa produk terpilih sepanjang pameran berlangsung.

“Penganjuran ini antara yang terbesar di negara ini dan kami menjangkakan mampu menarik sehingga 60,000 pengunjung.

“Pengunjung berpeluang berjumpa dengan penulis tersohor tempatan serta luar negara, kami turut menjemput selebriti tempatan Datuk Chef Wan yang juga seorang penulis buku masakan tempatan,” katanya pada program lawatan media ke pameran itu, semalam.

Helen berkata, sepanjang pameran, pihaknya turut menganjurkan kempen derma buku ‘Read.Love.Share Charity Bookcase’ dengan pengunjung boleh menderma buku terpakai di sudut disediakan.

Menurutnya, buku yang dikumpulkan akan diagihkan kepada empat sekolah dan empat badan kebajikan sekitar negeri ini.

Sementara itu, guru, Haniff Hasan, 35, yang ditemani isteri, Hazlina Mohd Sanitu, 35, berkata, dia menantikan penganjuran pameran buku di negeri ini kerana menawarkan harga berpatutan.

“Pelbagai buku rujukan dan kelengkapan lain boleh saya beli memandangkan sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi.

“Saya berharap pameran buku ini akan diadakan lebih kerap, sekali gus memudahkan ibu bapa dan guru mendapatkan peralatan sekolah serta buku yang diperlukan,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2015 @ 3:11am
d