mutakhir

Penemuan menyayat hati

Oleh Abd Rahman Adam

Betong: Mayat seorang kanak-kanak lelaki, Mohd Fakrul Rizal Dahari, 11, yang dibaham buaya di Sungai Kampung Bungin, Spaoh, di sini, Selasa lalu, ditemui pasukan penyelamat, semalam.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sri Aman Mohammad Rafi Saibi berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga, semalam menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, jam 3.45 petang.

Katanya, selepas enam jam operasi dilakukan, pihaknya berjaya mengesan objek terapung yang mencurigakan sebelum menghampirinya untuk pemeriksaan.

“Mayat mangsa yang hanya berseluar ditemui dengan beberapa kesan gigitan di bahagian perut, kaki dan kepala dipercayai akibat diserang reptilia ganas itu.

“Waris mangsa sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu dan mayat dihantar ke Hospital Betong untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Disiarkan pada: December 25, 2015 @ 3:31am
d