mutakhir

Ciuman terakhir cucu

Oleh Aslina Abu Bakar

Kuala Nerus: "Sebelum bertolak ke Perak Ahad lalu, arwah sempat bersalam dan mencium pipi saya," kata Azizah Umar, 70, dari Kampung Pak Tuyu, di sini.

Azizah adalah nenek kepada Nur Afiqah Alimi, Mohd Ali 19, seorang daripada empat mangsa yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan bas ekspres dengan lori di Batu 14, Jalan Jeli-Gerik kira-kira 1.30 pagi tadi.

Azizah berkata, Nur Afiqah yang juga pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, bercuti bersama keluarganya di Perak sejak Ahad lalu, namun arwah pulang bersendirian tanpa ditemani ibunya, Zalida Adnan, 38.

"Ibunya pulang terlebih dulu menaiki kereta bersama adik arwah dari Pulau Pinang yang ingin pulang ke Terengganu.

"Nur Afiqah menaiki bas pada hari berlainan iaitu semalam pada 7.30 malam bersama kakak, adik dan sepupunya," katanya.

Menurutnya, selain Nur Afiqah, tiga lagi cucunya, Nur Ain Nabilah Alimi, 20; Nuraini Nasuha Alimi, 15, dan Mohd Zaini, 15, yang turut menaiki bas berkenaan, cedera.

"Saya langsung tak sangka kejadian ini menimpa cucu saya. Sebelum pergi, saya sempat bertemu arwah dan dia sempat bersalam serta mencium saya. Tidak sangka itu ciuman terakhirnya kepada saya.

"Arwah seorang yang pendiam dan anak yang taat kepada ibunya selepas pemergian ayah sejak tiga tahun lalu akibat barah hati. Malah, setiap pertolongan yang diminta pasti dia akan lakukan tanpa merungut," katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 tadi, bas yang membawa 30 penumpang dari Taiping, Perak ke Kuala Terengganu terbabit kemalangan dengan lori muatan papan lapis dari arah bertentangan, mengakibatkan empat maut dan 26 lagi cedera.

Disiarkan pada: December 25, 2015 @ 9:00pm
d