mutakhir

Jenazah Nur Afiqah selamat dikebumikan [METROTV]

Oleh Helmy Abdul Rahman dan Zaid Salim

Kuala Nerus: Jenazah Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19, seorang daripada empat yang terkorban dalam kemalangan bas ekspres dengan lori di Kilometer 124, Batu 14, Jalan Jeli-Grik jam 1.30 pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol, Mengabang Telipot, di sini, 9.45 malam tadi.

Jenazah Penuntut Politeknik Sultan Ahmad Shah, Kuantan, itu dikebumikan selepas selesai solat jenazah di Surau Kampung Pak Tuyu, di sini, sebaik van yang membawa jenazah dari Hospital Jeli, Kelantan tiba pada 8.05 malam.

Kira-kira 50 penduduk kampung dan ahli keluarga serta saudara-mara menghadiri pengebumian itu.

Dalam kejadian itu, Nur Afiqah bersama kakak, Nur Ain Nabilah Alimi, 29 dan adik, Nur Aini Nasuha Alimi, 15 dan sepupunya, Ahmad Izzul Farhan Mohd Saidi, 15, dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampung selepas bercuti di rumah kakak sulungnya, Nur Izzati Alimi, 25, di Kemunting, Taiping, Perak sejak Ahad lalu.

Nur Ain Nabilah dan Nur Aini Nasuha Alimi cedera di kepala dan badan dan kini masih dirawat di Hospital Jeli manakala Ahmad Izzul Farhan yang mengalami kecederaan di mulut dibenarkan keluar selepas mendapat rawatan di hospital sama.

Disiarkan pada: December 25, 2015 @ 11:47pm
d