mutakhir

Pesona gadis Uganda

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Gadis tinggi lampai dari Uganda, Kirabo Sheila, 23, diumumkan pemenang bagi ‘Miss Joyful KLIA’ sekali gus mengalahkan 56 peserta lain dari pelbagai negara.

Menerusi kemenangan itu, Sheila yang juga pelajar jurusan Reka Bentuk Dalaman di sebuah universiti di negara kelahirannya membawa pulang hadiah trofi.

Anak sulung daripada empat beradik itu berada di Malaysia bersama 56 peserta lain bagi merebut gelaran pertandingan ‘Miss Tourism Queen Of The Year International World’ yang akan diumumkan Khamis ini.

Sheila berkata, dia tidak menyangka memenangi gelaran ‘Miss Joyful KLIA’ kerana peserta lain turut berbakat memberikan idea dan pandangan masing-masing.

“Ketika menyatakan pandangan di hadapan juri dan penonton, saya langsung tidak meletakkan sasaran untuk memenangi pertandingan ini.

“Apabila diumumkan pemenang, saya berasa terkejut dan menyifatkannya sebagai semangat untuk membuat yang terbaik bagi pertandingan ‘Miss Tourism Queen Of The Year International World’,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Ditanya mengenai pendapatnya mengenai Malaysia, Sheila berkata, dia tertarik serta mempelajari kepelbagaian adat dan budaya masyarakat di negara ini.

“Malaysia sangat unik kerana ia sebuah negara berbilang bangsa dan sebab itu, saya banyak mendapat maklumat mengenai adat dan budaya di sini.

“Sejujurnya, saya akan datang lagi ke Malaysia satu hari ini kerana jatuh cinta dengan keramahan rakyat di negara ini,” katanya yang baru pertama kali datang ke sini.

Pada masa sama, dia berhasrat akan datang ke Malaysia pada masa akan datang kerana akan merindui negara ini selepas pulang ke Uganda.

Selain itu, Sheila berkata, dia turut menyukai teh tarik iaitu minuman popular masyarakat di Malaysia.

Disiarkan pada: December 28, 2015 @ 5:10am
d