mutakhir

Sambutan bukti setiap kaum dihargai

Melaka: Sambutan perayaan Krismas di negara ini menunjukkan negara sentiasa menghargai setiap kaum walaupun berbeza dari segi budaya dan agama yang dianuti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun berbeza budaya dan agama, masyarakat mampu memelihara kemuafakatan sebagai rakyat Malaysia yang tidak dapat ditemui di mana-mana negara lain di dunia.

“Pertahankan prinsip keharmonian walaupun perbezaan agama dan latar belakang, ia hanya ada di Malaysia dan perlu dikekalkan. Ia adalah lambang kita di Malaysia walaupun terdapat perbezaan budaya dan agama.

“Kejadian jenayah yang membabitkan kumpulan kecil sebelum ini, jangan dikaitkan dengan perkauman ia dapat diselesaikan dengan cara baik, oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MTRM) Krismas Peringkat Kebangsaan di Dataran Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut komited untuk menjaga keharmonian kaum di negara ini kerana asas itu sudah dilakukan pemimpin sebelum ini.

Disiarkan pada: December 28, 2015 @ 5:13am
d