mutakhir

Kami tidak pernah bertindak ala 'gengster'

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak pernah bertindak ala ‘gengster’ atau mafia dengan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang menyerbu dan menyerang premis perniagaan hingga mencetuskan pergaduhan.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya bertindak berdasarkan aduan daripada pengguna yang teraniaya akibat ditipu peniaga, sekali gus menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Beliau berkata, tindakan PPIM juga bukan mahu membelakangkan pihak berkuasa, namun hanya membantu agensi berkaitan dalam menyelesaikan isu pengguna supaya mendapat pembelaan sewajarnya.

“PPIM mempunyai standard operasi prosedur (SOP) dalam menyelesaikan kes iaitu mengambil maklumat daripada mangsa, menyiasat serta mengadakan pertemuan antara mangsa dan peniaga dalam usaha menyelesaikan masalah mereka.

“Malah, PPIM tidak membenarkan ahlinya mengambil apa jua barang atau duit selain tidak menimbulkan kekacauan dan pergaduhan ketika menyelesaikan kes,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sebelum itu, pihak tertentu, termasuk pengguna laman sosial seperti Facebook mengecam tindakan PPIM yang dikatakan seperti samseng ketika menyelesaikan kes penipuan telefon bimbit di pusat beli-belah Kotaraya hingga menimbulkan pergaduhan.

Tindakan PPIM itu juga menyebabkan dua ahlinya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Nadzim berkata, tahun ini saja, pihaknya menerima lebih 2,000 kes berkaitan penipuan membabitkan gores dan menang, ‘along’, penjualan tanah serta skim cepat kaya dengan nilai mencecah jutaan ringgit.

Disiarkan pada: December 28, 2015 @ 5:13am
d