mutakhir

RM2 amat bermakna

Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: “Dengan RM2 ini sekurang-kurangnya kami dapat menceriakan insan lain dan berharap usaha ini akan memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk terus menyebarkan kebaikan,” kata Koordinator Projek Kindness Pahang, Ashira Abu Bakar mengenai Projek Petrol yang diadakan di sebuah stesen minyak di Sungai Isap di sini, semalam.

Melalui projek itu, seramai 50 penunggang motosikal yang mahu mengisi petrol di stesen minyak berkenaan diberikan sumbangan RM2 seorang bagi tujuan berkenaan dan mereka terdiri daripada pelajar serta warga emas.

Ashira berkata, program diilhamkan Kindness Malaysia itu kali pertama diadakan di bandar ini bertujuan menceriakan orang ramai terutama golongan memerlukan selain meringankan sedikit beban mereka.

“Mungkin bagi sesetengah pihak, bantuan ini nampak kecil tetapi sebenarnya ada segelintir masyarakat yang terpaksa berkira-kira untuk mengisi minyak dan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka.

“Dengan harga minyak tidak menentu dan kos sara hidup semakin meningkat, kami mengambil inisiatif untuk menggembirakan golongan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas program itu, semalam.

Menurutnya, dalam program itu, pihaknya menyasarkan golongan pelajar serta warga emas yang dirasakan memerlukan bantuan berkenaan dan reaksi penerima sangat positif walaupun jumlah diberikan kecil.

“Konsep kebaikan sangat luas dan ia mudah dilakukan oleh semua peringkat usia. Kami berharap usaha ini dapat memberikan inspirasi kepada insan lain untuk sama-sama menyebarkan kebaikan sesama kita,” katanya.

Katanya, program itu akan diteruskan pada masa akan datang, namun pihaknya juga sudah merangka pelbagai program lain.

Disiarkan pada: December 28, 2015 @ 5:16am
d