mutakhir

Jawatankuasa tertinggi ditubuh

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi akan diwujudkan pada awal Januari depan bagi membincangkan resolusi dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa itu bakal dianggotai oleh menteri dan ketua setiausaha daripada enam kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, pihaknya komited serta yakin kerjasama dengan NGO dapat menangani isu itu biarpun tidak seratus peratus.

“Saya akan membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menawarkan diri sebagai pengerusi jawatankuasa itu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Resolusi Prioriti 2016: ‘Ekonomi Keutamaan Kita’ anjuran Yayasan Damai Sejahtera Malaysia(YDSM), di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YDSM Tan Sri Alimudin Md Dom dan Ketua Pegawai Eksekutif YDSM Amran Zakaria.

Ahmad Zahid berkata, hasil pertemuan dengan YDSM dan 50 NGO itu, diputuskan enam kluster akan diwujudkan bagi mendepani permasalahan kos sara hidup iaitu mahasiswa, keluarga dan wanita, keusahawanan dan perniagaan, kebudayaan dan persuratan, bandar dan luar bandar serta pekerja dan pesara.

Disiarkan pada: December 29, 2015 @ 9:03am
d