mutakhir

Lelaki dituduh melakukan samun bersenjata

Seremban: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, terhadap lima pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di sebuah kafe di Senawang Jaya, dua minggu lalu.

Rose Azrool Mohd Arshad, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas melakukan rompakan bersenjata pisau terhadap lima pekerja dan pelanggan sebuah kafe dengan melarikan lima komputer riba, empat telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM1,976.

Kesalahan itu dilakukan di kafe di Jalan PPSJ 3/1, Senawang Jaya, di sini, antara jam 8.06 malam hingga jam 9.45 malam, pada 16 Disember lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 29, 2015 @ 9:15am
d