mutakhir

'Kami sudah bertunang'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Mereka sudah bertunang dan dijangka melangsungkan perkahwinan bulan depan, namun akibat terikut dengan hawa nafsu, mereka sanggup bersekedudukan di sebuah hotel murah di Jalan Pegawai, sebelum dicekup berkhalwat dalam operasi Ops Gejala Sosial malam kelmarin.

Pasangan berusia 30 dan 34 tahun itu dicekup pada jam 12.30 tengah malam oleh sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) ketika berdua-duaan dalam bilik di tingkat bawah hotel dua tingkat itu.

Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa dan Undang-Undang JAIK Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di semua bilik hotel berkenaan sebelum mendapati sebuah bilik berkunci dari dalam.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati seorang wanita yang memakai kemeja-T dan seluar pendek berada dalam bilik berkenaan bersama seorang lelaki dengan mereka gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri.

“Ketika disoal siasat, mereka mendakwa sudah bertunang dan bakal berkahwin awal bulan depan. Wanita yang tidak bekerja itu memberi alasan dia datang menjemput tunangnya di Jitra jam 6 petang dan menyewa di hotel itu untuk memudahkannya menghantar lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu lori ke tempat kerjanya di bandar raya ini.

“Mereka mengaku menyewa bilik itu pada harga RM50 sehari tetapi tidak menyangka akan dicekup berkhalwat malam ini (kelmarin),” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi jam 3 pagi semalam.

Mohd Roshidi berkata, pasangan itu dibawa ke Balai Polis Kota Setar untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi itu, pihaknya yang disertai seramai 25 anggota penguat kuasa itu turut menahan sepasang remaja berusia belasan tahun kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai di hadapan Masjid Zahir, sekitar jam 1 pagi.

Katanya, mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: December 29, 2015 @ 9:48am
d