mutakhir

1,000 naik bot pergi bandar

Kuala Krai: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Pemberian, di sini, terpaksa menggunakan bot tambang dan laluan alternatif lain yang lebih jauh apabila jambatan sementara yang menghubungkan kampung itu dengan Kampung Manjor dan bandar terputus dua.

Ia ranap ekoran dirempuh sisa kayu balak yang hanyut sejak malam kelmarin.

Penduduk, Zawiah Hussin, 50, berkata, dia mengetahui jambatan itu runtuh pagi semalam ketika mahu keluar ke bandar untuk membeli barang keperluan harian.

“Semalam (kelmarin), saya lihat jambatan ini masih elok walaupun banyak sisa kayu balak tersekat padanya.

“Mungkin jambatan itu terputus dua disebabkan rempuhan kuat sisa kayu balak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Zawiah meminta pihak berkenaan membaiki jambatan itu dengan segera bagi memudahkan penduduk untuk melakukan aktiviti harian.

Katanya, ketika ini dia perlu menggunakan bot tambang untuk keluar dari kampungnya selain jalan alternatif yang memakan masa selama dua jam.

“Jalan itu tidak digunakan penduduk kerana ia berbukit dan hanya digunakan lori balak,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Hamidah Ismail, 45, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan jambatan itu runtuh kerana sebelum ini menyangka ia hanya tenggelam akibat limpahan air sungai.

“Saya sukar untuk menjalankan urusan harian dan terpaksa merisikokan diri dengan menyeberangi sungai menggunakan bot tambang untuk keluar dari kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kuala Krai Ahmad Firdaus Mohamad berkata, kerajaan akan membina jambatan baru yang lebih tinggi sepanjang 650 meter berbanding jambatan lama hanya 500 meter.

Disiarkan pada: December 31, 2015 @ 9:39am
d