mutakhir

3 lorong ke terminal feri tutup

Kepala Batas: Pengguna jalan raya terutama yang mahu menggunakan perkhidmatan feri di Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth, diminta berwaspada dan mematuhi papan tanda berikutan tiga daripada enam lorong sedia ada ditutup bagi memberi laluan kepada pembinaan hab pengangkutan bersepadu Penang Sentral.

Bagi Fasa 1, tiga lorong di Jalan Metcher menghala terminal feri dan Jalan Pantai ditutup mulai hari ini sehingga 31 Januari 2016 untuk kerja pembinaan struktur bangunan membabitkan kos RM200 juta oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, bagi memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan teksi pula, Terminal Teksi Sementara Penang Sentral akan dipindahkan ke kawasan meletak kereta milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mulai 1 Januari tahun depan.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan Fasa 2, persimpangan ke Jalan Pantai dan persimpangan masuk ke terminal feri akan ditutup mulai 1 Februari hingga 30 September 2016 manakala laluan keluar dari terminal feri akan diubah dari sehala kepada dua hala.

“Pihak MRCB sudah mengedarkan risalah untuk memaklumkan penutupan jalan berkenaan dan mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Buat permulaan, kita menjangkakan berlaku kesesakan di laluan menghala terminal feri, tetapi anggota trafik akan ditempatkan bagi melancarkan lalu lintas,” katanya dalam sidang media, semalam.

Hadir sama Naib Presiden Eksekutif MRCB Datuk Dell Akbar Khan.

Sementara itu, Pengarah Urusan MRCB Thang Chee Keong berkata, pembangunan hab pengangkutan Penang Sentral membabitkan empat fasa dengan Fasa 1 dijangka siap Disember 2016, diikuti Fasa 2 (Disember 2019), Fasa 3 (Disember 2021), Fasa 4 (2022) manakala Fasa 5 hingga 8 masih dalam perancangan.

“Sebanyak 100,000 risalah mengenai penutupan laluan sudah diedarkan kepada orang ramai selain hebahan melalui televisyen.

“Kami harap orang ramai mematuhi arahan pada papan tanda bagi mengelakkan timbul sebarang masalah. Orang ramai yang ingin membuat pertanyaan boleh menghubungi talian 24 jam 04-3321015,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2015 @ 5:49am
d