mutakhir

Utama nyawa peserta ekspedisi

Kuala Lumpur: “Keselamatan serta nyawa ahli ekspedisi melebihi diri sendiri,” itulah naluri jurupandu Gunung Kinabalu yang melaksanakan tugas membawa pendaki menawan puncak gunung itu.

Bagi Junaydia Sihan, 38, keselamatan diri sendiri tidak lagi penting kerana tugas utama ialah memastikan ahli ekspedisi selamat.

“Nyawa kita nombor dua. Itu memang kita tanam dalam hati apabila mengadakan ekspedisi membawa pendaki menawan puncak sesebuah gunung.

“Bergelar jurupandu gunung bukan satu tugas mudah, pelbagai cabaran perlu ditempuhi dan kita perlu bersedia setiap masa dan berhati-hati kerana naluri itu penting dalam memastikan kejayaan sesebuah ekspedisi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menceritakan semula insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu awal tahun ini, Junaydia berkata, dia bersama beberapa jurupandu lain mendaki gunung berkenaan sebaik menerima berita kejadian terbabit.

Menurutnya, tugas mereka ketika itu untuk menyelamatkan peserta ekspedisi yang terperangkap di atas gunung serta membantu juru pandu lain yang membawa peserta ekspedisi.

“Kami dalam kalangan juru pandu gunung umpama sebuah keluarga besar. Hubungan kami sangat akrab dan saling mengenali antara satu sama lain.

“Biarpun tidak menerima latihan profesional sebagai jurupandu, kami mahir dalam selok belok gunung ini,” kataya.

Junaydia memilih menjadi jurupandu bukan hanya bersandarkan kepada pendapatan saja, namun itu semua minatnya sejak remaja lagi.

“Ketika berusia 18 tahun, saya sering melihat
jurupandu lain mendaki gunung bersama pelancong dan sejak itu, saya mula menanam minat dan impian.

“Saya sering berkongsi pengalaman dengan
jurupandu berpengalaman terutama berhubung menghadapi situasi diluar jangkaan,” katanya.

Menurutnya, biarpun insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu itu turut meragut nyawa rakannya, ia tidak melemahkan semangatnya untuk berkhidmat sebagai jurupandu.

Disiarkan pada: December 1, 2015 @ 5:52am
d