mutakhir

Pertingkat kemahiran

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Biarpun kemampuan jurupandu tempatan sudah boleh dibanggakan dengan beberapa insiden termasuk gempa bumi di Gunung Kinabalu awal tahun ini, namun kepakaran teknikal mereka masih berada pada tahap yang agak rendah.

Presiden Kelab Ekspedisi Global Malaysia (GEC) T Ravichandran berkata, kebanyakan jurupandu tempatan kurang profesional daripada segi pengetahuan berkenaan dengan tempat, cabaran serta pengetahuan teknikal mendaki gunung.

Menurutnya, walaupun ketinggian 1,000 meter atau 4,000 meter, semua jurupandu mesti mempunyai pengetahuan dan perlu ada beberapa tahun pengalaman menjadi pembantu jurupandu.

“Kita perlu meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan jurupandu kerana masalah ini akan mengundang insiden tidak diingini seperti kemalangan atau tersesat ketika ekspedisi.

“Satu rangka pelajaran mesti dibentuk supaya membantu mereka dan membangunkan pengetahuan sedia ada supaya jurupandu tempatan setaraf dengan negara luar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Ravichandran yangpernah mengharumkan nama negara dengan menawan puncak Gunung Everest secara solo berkata, jurupandu tempatan ini kebanyakannya tidak terlatih dan tidak didedahkan dengan situasi cemas.

Beliau berkata, terdapat banyak aspek yang perlu dipertingkatkan dalam usaha membentuk jurupandu profesional termasuk memberi latihan terhadap aspek pengetahuan teknikal yang perlu ada bagi setiap jurupandu.

“Kini, terdapat banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba membantu jurupandu tempatan untuk meningkatkan kemahiran mereka tetapi program seumpama itu perlu mendapat kerjasama dengan agensi kerajaan.

“Oleh kerana kurang kemahiran teknikal, jurupandu ini juga kurang dihormati dalam kalangan pendaki dan teguran mereka selalunya diabaikan. Seharusnya, sikap ini juga perlu diubah oleh pendaki bagi mewujudkan suasana lebih harmoni,” katanya.

Katanya, semua pihak perlu berganding bahu untuk meningkatkan tahap profesionalisme jurupandu tempatan, sekali gus menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan yang lumayan.

Menurutnya, terdapat banyak lokasi pergunungan di negara ini yang mampu menarik pelancong yang ingin merasai cabaran alam semula jadi dan usaha pemantapan jurupandu perlu dilaksanakan secara bersepadu.

“Saya berharap jurupandu tempatan dapat mengambil inisiatif sendiri dalam meningkatkan tahap profesionalisme mereka, di samping usaha NGO tertentu dalam penyediaan kursus serta latihan,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2015 @ 5:53am
d