mutakhir

Ihsan warga prihatin

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: “Walaupun rumah ini tidak mempunyai bekalan air dan elektrik tetapi saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami sekeluarga mempunyai tempat untuk berteduh dari panas dan hujan,” kata Mohd Khir Salleh, 34.

Mohd Khir bersama ibu dan enam adiknya berusia 14 hingga 32 tahun menginap di sebuah rumah yang dibina penduduk kampung di dalam hutan di Pasir Jelatang, di sini sejak enam bulan lalu.

Kediaman itu dibina atas dasar kemanusiaan dan prihatin penduduk berikutan sebelum ini mereka sekeluarga hanya tinggal berpeleseran di wakaf dekat tanah perkuburan kampung itu selain reban ayam.

Semuanya kerana kesusahan hidup dialami mereka selain tidak mempunyai tanah sendiri untuk membina rumah.

Menceritakan derita hidup keluarganya, Mohd Khir yang bekerja sendiri berkata, 20 tahun lalu mereka mempunyai rumah di kampung itu namun terbakar dan menyebabkan mereka hidup merempat.

“Selepas terbakar, ada penduduk yang baik hati bantu bina semula, namun hanya tahan beberapa bulan saja sebelum kami diminta keluar kerana tanah itu milik orang lain.

“Kami kemudian menumpang di rumah nenek serta datuk di Kampung Larak, Pendek yang sudah uzur, tetapi adik-beradik yang ramai menyebabkan mereka berpindah di rumah tanpa bilik yang dibina atas tapak tanah milik saudara.

“Selama 18 tahun menetap di situ sehinggalah pada 2013, kami sekeluarga diminta keluar kerana rumah berkenaan mahu dirobohkan. Sejak itulah kami tinggal di reban ayam dan wakaf dekat tanah perkuburan sehingga tahun lalu apabila ia musnah disebabkan banjir.

“Peritnya hanya Allah SWT yang tahu kerana kami hanya tinggal sehelai sepinggang dan tiada juga tempat berteduh,” katanya ketika ditemui.

Mohd Khir berkata, mereka adik-beradik terpaksa mencari keselesaan sendiri untuk hidup sejak tidak mempunyai rumah.

Katanya, hanya reban ayam yang sesuai menjadi tempat mereka tidur pada waktu malam dan siang hari berehat di wakaf tanah perkuburan itu.

“Nak mandi atau makan semua pandai-pandai kami sendiri. Ada telaga, kami mandi di situ atau tumpang tandas masjid.

“Disebabkan kasihan melihat kami, maka penduduk kampung bina rumah ini di atas tanah milik kerajaan. Walau tanpa elektrik dan air, tapi ia rumah untuk kami berteduh dan sangat bersyukur dan berterima kasih,” katanya

Menurutnya, dia dan adik kedua Mohd Khoiri, 32, menetap di rumah itu secara tetap manakala, ibunya Maizul Yahaya, 52, dan lima adik berusia 14 hingga 20-an pulang sekali sekala.

Dalam pada itu, Maizul berkata, dia membawa lima anak terutama perempuan dan masih bersekolah menumpang di rumah ibunya di Kampung Larak bagi memudahkan pergerakan selain bimbang keselamatan mereka.

“Saya terpaksa buat begitu kerana rumah itu tiada bekalan elektrik selain jauh di dalam hutan. Dua anak Mohd Saiful Nizam, 16, dan Siti Nurhaliza,14, pula masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong.

“Jadi kami menumpang di rumah ibu saya dan pulang ke sana apabila hujung minggu atau apabila perlu. Ikutkan saya tidak mahu susahkan ibu saya kerana perlu menjaga adik yang juga orang kurang upaya (OKU).

“Tapi kami juga tiada pilihan lain. Selepas suami Salleh Daud, 65, meninggal dunia tiga tahun lalu akibat angin ahmar, keadaan kami sekeluarga lebih rumit,” katanya yang hanya bergantung kepada masyarakat prihatin yang menderma barang keperluan harian untuk hidup.

Katanya lagi, kesusahan sudah menjadi seperti ‘darah dagingnya’ apabila dia dan anaknya tidak lagi mengharap untuk berpakaian cantik dan makan yang sedap-sedap.

Menurutnya, air telaga yang tidak ditapis menjadi bekalan utama untuk mereka minum, masak, mandi dan membasuh pakaian, walaupun menyedari ia tidak bersih dan berisiko terkena jangkitan penyakit bawaan air.

Disiarkan pada: December 1, 2015 @ 6:00am
d