mutakhir

'Telaga kita' musnah dibom

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Seramai 20,000 penduduk di sekitar Maarat Numan, Idleb, Syria terputus bekalan air selepas telaga yang dibina hasil bantuan dana kemanusiaan rakyat Malaysia dimusnahkan dalam satu serangan udara oleh tentera Russia, beberapa hari lalu.

Pengarah Pembangunan Strategi dan Perhubungan Antarabangsa, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Sani Araby Al-Kahery berkata, telaga air itu dibina pada pertengahan tahun lalu dengan kos keseluruhan hampir RM100,000 dan diwakafkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) serta sumbangan prihatin rakyat Malaysia.

Menurutnya, bekalan air daripada telaga itu disalurkan kepada kira-kira 20,000 penduduk di kawasan Maarat Numan dan sudah beroperasi lebih daripada setahun.

“Tindakan menyerang kemudahan asas untuk rakyat Syria oleh rejim Basyhar dan Russia tidak boleh dimaafkan memandangkan mereka sedar bahawa kawasan ini hanya mempunyai kelengkapan air dan tiada sebarang aktiviti ketenteraan.

“Kita membayangkan krisis kemanusiaan di Syria akan memasuki fasa gelombang paling buruk apabila pertembungan antara banyak kuasa besar dunia,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Sani Araby berkata, jumlah kematian serta kecederaan akan meningkat sekiranya semua kuasa besar menyerang kawasan awam yang tidak mempunyai sebarang kegiatan ketenteraan.

“Saya difahamkan bahawa serangan sudah dilancarkan di sekitar Idleb dan kini dilaporkan mereka mula menyerang bandar Binnish yang mengorbankan 10 orang awam.

“Tahun ini saja, projek bantuan kemanusiaan yang diusahakan MAPIM berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya kemusnahan akibat serangan rejim Basyhar serta sekutunya,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2015 @ 6:02am
d