mutakhir

30 kanak-kanak masuk jawi

Melaka: Seramai 30 kanak-kanak dikhatankan pada Majlis Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Panel Penasihat Kesihatan dan Klinik Kesihatan Ayer Molek di Kompleks Japerun Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di sini, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek Datuk Wira Md Yunos Hussin berkata, peserta yang mengambil bahagian membabitkan kanak-kanak dari kawasan DUN Ayer Molek dan kawasan sekitar.

“Kita akan terus menganjurkan program sama pada masa akan datang berikutan permintaan daripada ibu bapa cukup tinggi. Program ini secara tidak langsung mampu mengeratkan hubungan dan kerjasama antara kakitangan klinik, ahli Panel Penasihat dengan masyarakat setempat,” katanya selepas merasmikan program itu.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan kelulusan pembinaan klinik kesihatan baru dalam DUN Ayer Molek sekali gus mampu menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk untuk mendapatkan rawatan.

Terdahulu, peserta program dikumpulkan dan diarak masuk ke Kompleks Japerun Ayer Molek dengan diiringi paluan kompang sebelum dimandikan dengan air disiram anggota bomba.

Kanak-kanak terbabit kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Ayer Molek untuk dikhatankan pegawai perubatan. Hadir sama pada majlis itu Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah Dr Rusdi Abd Rahman

Disiarkan pada: December 1, 2015 @ 6:05am
d