mutakhir

Nikah 'berjemaah' RM1,500

Oleh Hai Rozzaman Jalal

Ledang: “Saya gembira dan rasa bertuah kerana berpeluang menyertai program ini,” kata Mohd Hidzir A Rahman, 26, seorang daripada pasangan pengantin yang menyertai Program Walimatulurus Perdana Daerah Ledang 2015, kelmarin.

Lebih istimewa, detik bersejarah itu turut dikongsi adik perempuannya, Nur Hanis, 24, yang bernikah dengan pasangannya pada program yang disertai tujuh pasangan lain.

Sembilan pasangan pengantin itu dinikahkan lima jurunikah diketuai Kadi Daerah Ledang Mohd Zaini Mohd Salleh dengan perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Hamim Samuri di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak.

Pakej perkahwinan bajet bermodalkan RM1,500 itu adalah inisiatif Jawatankuasa Daerah Ledang dengan kerjasama Pejabat Daerah Ledang, Majlis Daerah Ledang, Pejabat Kadi Daerah Ledang dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Ledang.

Mohd Hidzir yang juga peniaga di Tangkak dinikahkan dengan pasangannya, Noor Zaafirah Janahuddin, 23, yang berasal dari Tambun, Perak manakala Nur Hanis dinikahkan dengan Adam Abu, 26, dari Taman Sri Jaya, Bukit Gambir.

Mohd Hidzir yang juga anak keempat daripada enam beradik berkata, dia berkenalan dengan isterinya menerusi laman Facebook (FB) tiga tahun lalu.

“Kami akhirnya setuju untuk bernikah dan memilih menyertai pakej perkahwinan ini.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang menganjurkan program ini, ia bukan saja baik malah memudahkan pasangan seperti kami untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.

Sementara itu, Adam yang juga EXCO Majlis Belia Daerah Ledang berkenalan dengan Nur Hanis yang berkerja sebagai kerani di Pejabat UMNO Bahagian Ledang ketika menyertai Kursus Simulasi Pilihan Raya di Melaka empat tahun lalu.

Katanya, selepas menyelami hati budi masing-masing, mereka bertunang April lalu dan mengambil keputusan menyertai program Walimatulurus Perdana untuk majlis pernikahan.

“Kami gembira menyertai program ini kerana ia turut diraikan bersama Ahli Parlimen Ledang Datuk Ir Hamim Samuri, Pegawai Daerah Ledang Ab Han Ramin dan ketua-ketua jabatan di daerah ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2015 @ 6:06am
d