mutakhir

Pengurusan kewangan bertambah baik

Ipoh: Penambahbaikan pengurusan kewangan yang memberangsangkan ditunjukkan institusi berasaskan Islam di negara ini menjadi penyumbang kepada peningkatan imej institusi terbabit di mata masyarakat.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata, penambahbaikan ketara daripada segi kewangan institusi Islam seperti Jabatan Mufti dan beberapa negeri lain menunjukkan kesedaran pengurusan institusi berkenaan mengenai kepentingan perkara terbabit.

“Dalam tempoh 10 tahun ini, saya lihat ada penambahbaikan di Majlis Agama Islam serta aspek pengurusan zakat sehingga berlaku peningkatan imej (institusi terbabit).

“Penambahbaikan itu sejajar dengan ajaran dalam Islam sendiri yang mengkehendaki sikap jujur, amanah, telus, berintegriti serta memiliki kemahiran dan pengetahuan dalam menguruskan wang rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pelancaran Hari Audit 1Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam 2015, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurutnya, Perak diiktiraf antara negeri yang menunjukkan prestasi pengurusan kewangan baik, konsisten dan memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, ia dibuktikan menerusi kedudukan Perak sebagai antara negeri terawal menyerahkan penyata kewangan untuk diaudit, mencatatkan lebihan perbelanjaan selama lima tahun berturut-turut serta pencapaian indeks akauntabiliti cemerlang empat bintang.

Disiarkan pada: December 1, 2015 @ 6:21am
d