mutakhir

4,606 gagak gugur ke bumi dek tawaran RM3

Klang: Tawaran sebanyak RM3 untuk setiap ekor gagak yang ditembak berjaya menarik minat orang ramai menyertai aktiviti berkenaan di sekitar daerah ini, kelmarin.

Dalam program dianjurkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu, sebanyak 4,606 gagak berjaya dihapuskan dalam masa sehari.

Ketua Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata, operasi jam 7 pagi itu disertai 78 penembak.

“Semua 78 penembak dibahagikan kepada 40 kumpulan mengikut kawasan masing-masing membabitkan Kapar, Taman Sri Sentosa dan Taman Sri Andalas.

“Program itu dianjurkan selepas MPK mendapat aduan daripada orang ramai yang berasa tidak selesa dengan jumlah gagak yang semakin meningkat di kawasan mereka,” katanya.

Norfiza berkata, program yang diadakan setiap tahun itu dapat mengawal populasi haiwan perosak terbabit seterusnya dapat mengelakkan daripada berlakunya masalah kesihatan.

“Penyertaan penembak adalah konsisten setiap tahun berikutan tawaran yang diberikan agak tinggi.

“MPK akan membincangkan cadangan ini memandangkan ia dapat membantu dalam mengawal populasi haiwan perosak itu,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2015 @ 6:46am
d