mutakhir

Perintis projek wakaf

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Kumpulan Nada Sepakat (NSC) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) bakal membangunkan dua lot tanah wakaf bagi projek kediaman eksklusif di Seksyen 30.

Projek perintis di tanah seluas 2.42 hektar yang diwakafkan Allahyarham Abdul Rahman Ali pada 23 Mei 1972 itu bakal membangunkan 56 unit rumah berkembar dua tingkat.

Sebahagian hasil jualan lot tanah berkenaan juga akan disalurkan bagi pembinaan Masjid Al-Falah di Telok Pulai, Klang kerana arwah adalah pemegang amanah masjid berkenaan.

Pengarah Urusan NSC Kamsol Said berkata, pihaknya menjangka nilai keseluruhan hartanah di kawasan terbabit akan meningkat sebaik saja pembangunan kediaman itu siap dibina pada Jun 2017.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 70 peratus unit yang ditawarkan di antara harga RM495,936 hingga RM772,160 bagi unit tengah sudah ditempah berikutan keyakinan pasaran terhadap projek kediaman.

“Projek ini berkonsepkan ‘Al-Ijarah’ iaitu pajakan bagi tempoh 99 tahun untuk pembeli beragama Islam.

“Selain itu, usaha ini secara tidak langsung membantu mengukuhkan institusi wakaf, mempertingkatkan status sosio ekonomi umat Islam dan memastikan amal jariah penderma kekal sehingga akhir zaman,” katanya ketika Majlis Pecah Tanah Projek Usaha sama Tanah Wakaf di Jalan Haji Taib, Jalan Kebun, semalam.

Sementara itu, Pengerusi MAIS Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, pihaknya diamanahkan menguruskan harta di Selangor yang dianggarkan bernilai RM433 juta termasuk 72 premis, 24 bazar dan 789 lot tanah.

Katanya, PWS juga bertanggungjawab menguruskan 96 projek pembangunan wakaf khas.

“MAIS sebagai pemegang amanah tunggal sememangnya mengharapkan tanah wakaf dapat dimaksimumkan manfaatnya dan ditambah nilai pelaburannya seiring dengan tanah konvensional lain.

“Melihat kepada keperluan dan permintaan masyarakat Islam masa kini serta perkembangan di sekitar tanah wakaf, suatu perancangan perlu dilakukan supaya ia tidak ketinggalan dengan perubahan semasa,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2015 @ 5:42am
d