mutakhir

Joli sakan curian RM100,000

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Keasyikan tiga lelaki dan dua wanita dipercayai terbabit dalam 15 kes pecah rumah dan kedai berjoli di dalam sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di sini, terbantut apabila mereka ditahan polis dalam serbuan pada 27 November lalu.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam, sepasukan pegawai dan anggota pasukan Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) menahan kelima-lima suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun dipercayai melakukan kes pecah premis berkenaan membabitkan nilai kerugian lebih RM100,000.

Ketua Polis Daerah Timur Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, serbuan ke atas suspek berkenaan dilakukan susulan daripada satu laporan polis dibuat seorang pemilik kedai telefon bimbit berusia 30-an pada 23 November lalu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, pintu belakang kedainya di Jalan Brown didapati dipecah masuk dan beberapa barangan termasuk 103 unit telefon bimbit, alat ganti telefon, komputer riba dan barangan lain dilaporkan hilang.

“Hasil siasatan termasuk penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai berkenaan mendapati terdapat tiga lelaki masuk ke dalam kedai dan melarikan semua barangan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, polis mengesan kelima-lima suspek di sebuah kelab malam di Jalan Penang pada 27 November lalu dan semuanya ditahan serta dibawa ke IPDTL untuk siasatan lanjut,” katanya di IPDTL di sini, semalam.

Mior Faridalathrash berkata, hasil siasatan dilakukan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 23 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun berkawan, pecah rumah dan dikehendaki polis manakala rakannya yang berusia 26 tahun tidak memiliki rekod jenayah.

Beliau berkata, polis turut menahan dua wanita iaitu isteri dan teman wanita kepada dua suspek berusia 23 tahun itu dan tiga daripada mereka positif dadah.

“Susulan penahanan mereka, polis berjaya menemui semula pelbagai barangan dipercayai dicuri hasil kegiatan pecah kedai dan rumah sejak awal tahun ini.

“Antara barangan ditemui adalah komputer riba, broadband, pemain cakera padat video digital, iPad, 19 telefon bimbit pelbagai jenama, tab, kamus elektronik, kamera digital, jam tangan, jaket, beg pinggang dan surat pajak gadai serta peralatan pecah rumah.

“Kelima-lima suspek mengaku terbabit dalam 15 kes pecah rumah sejak awal tahun ini membabitkan beberapa lokasi termasuk Air Itam, Jelutong, Sungai Pinang, Pulau Tikus dan Tanjung Tokong,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2015 @ 5:47am
d