mutakhir

Lima kisah inspirasi

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam meluangkan masa beramah mesra dan mendengar kisah inspirasi bersama pemegang biasiswa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) di bangunan Menara Parlimen, di sini.

Seramai lima pemegang biasiswa berkongsi kisah hidup dan kejayaan mereka dalam bidang masing-masing selepas dibiayai yayasan itu pada satu majlis yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Rata-rata penerima biasiswa itu melahirkan penghargaan terhadap yayasan itu dan turut terharu mendapat peluang berkenaan untuk berkongsi kisah hidup mereka dengan pemimpin nombor satu negara.

Faiz Alian Mohd Zamre, 15, pelajar tingkatan tiga yang datang daripada keluarga kurang mampu dan dibesarkan oleh ibu tunggal berkata, biasiswa Peneraju Tunas Geliga yang diterima banyak membantu meringankan bebannya.

Menerusi biasiswa itu, katanya, beliau mampu meneruskan pengajiannya sehingga melayakkan diri meneruskan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pasir Tumboh, Kelantan.

“Melayakkan diri ke MRSM adalah impian saya sejak di bangku sekolah rendah dan dengan biasiswa ini saban tahun banyak meringankan beban ibu saya yang juga tulang belakang keluarga,” katanya yang bercita-cita menjadi jurutera.

Nuraini Gastan, 20, pula melahirkan rasa sangat bertuah kerana diterima sebagai pemegang biasiswa Peneraju Skill di bawah Yayasan Peneraju yang mengubah kehidupan keluarganya.

Menceritakan kisahnya yang sebelum ini bekerja sebagai penari kebudayaan dan menerima gaji RM600 sebulan, katanya, beliau kini menjawat jawatan di sebuah hotel di ibu negara dengan pendapatan RM2,400 sebulan selepas mengikuti program ‘Executive Certificate in Front Office Operations’ di bawah yayasan itu.

“Saya bersyukur kerana kini saya boleh membantu keluarga dan menanggung persekolahan adik saya dengan gaji yang diperoleh dan saya berterima kasih dengan bantuan yang diberikan peneraju, saya harap lebih ramai golongan seperti saya dibantu dengan program ini,” katanya. – BERNAMA

Disiarkan pada: December 2, 2015 @ 5:49am
d