mutakhir

Stok 1.6 juta mangsa bah

Oleh Fakhrurrazi Usuldin

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia dengan bekalan makanan untuk kira-kira 1.6 juta mangsa banjir sekiranya bencana itu melanda.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, untuk itu, JKM mewujudkan lima depoh simpanan bekalan makanan di Bedong (Kedah), Sungai Buloh (Selangor), Kemumin (Kelantan), Marang (Terengganu) dan Muar (Johor).

“Bekalan makanan di lima depoh itu akan diedarkan di semua 5,152 pusat pemindahan di seluruh negara sekiranya berlaku banjir nanti,” katanya selepas melancarkan Laporan Bencana Dunia 2015 di Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Kebangsaan PBSM Tunku Tan Sri Shahriman Tunku Sulaiman dan Setiausaha Agung PBSM Datuk Sayed Rahman Sayed Mohd.

Rohani berkata, sebanyak 68 depoh mini menghimpunkan bekalan makanan turut diwujudkan di kawasan berhampiran pusat pemindahan banjir berkenaan.

“JKM juga akan menggunakan treler untuk memudahkan proses memindahkan bekalan makanan ke pusat penempatan mangsa banjir,” katanya.

Menurutnya, setiap treler akan membekalkan bekalan makanan dan barang keperluan mangsa banjir.

“Bekalan makanan itu mencukupi untuk 2,000 orang di sesebuah pusat pemindahan banjir.

“Bekalan seperti beras, mi segera, sardin dan barangan masakan boleh bertahan selama lima hari dan akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, JKM turut menyediakan 12,000 tikar, 300 set walkie talkie dan 2,400 jaket keselamatan untuk digunakan oleh sukarelawan banjir kelak.

Sementara itu, Sayed Rahman berkata, kira-kira 20,000 sukarelawannya bersedia membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Disiarkan pada: December 2, 2015 @ 6:03am
d