mutakhir

2,943 prestasi rendah

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Seramai 2,943 penjawat awam kini berada dalam ‘radar’ kerajaan selepas mereka masing-masing mencatatkan prestasi kerja rendah di bawah 60 markah sepanjang tempoh penilaian tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, jumlah penjawat awam itu mewakili 0.28 peratus bagi keseluruhan 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara dengan jumlah tertinggi dicatatkan dalam perkhidmatan awam persekutuan (PAP) iaitu seramai 2,194 orang.

Beliau berkata, penjawat awam lain yang turut dipantau termasuk 357 orang yang berkhidmat di perkhidmatan awam negeri, badan berkanun persekutuan (189), badan berkanun negeri (58) dan pihak berkuasa tempatan (145).

“Sejumlah 2,943 penjawat awam berkenaan dikesan tidak menunjukkan prestasi kerja memuaskan dan ia turut membabitkan pegawai dan kakitangan yang sudah lama dan baru berkhidmat.

“Kebanyakan mereka terbabit dengan pelbagai masalah termasuk ponteng kerja dan gagal dikesan serta pelbagai masalah disiplin,” katanya pada sesi bersama media berhubung Tindakan Susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 3, semalam.

Sebelum ini, kerajaan sudah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan mengenai Dasar Pemisah atau Exit Policy pada 19 November lalu.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada Mei lalu berkata, Dasar Pemisah Bagi Personel berprestasi rendah diperkenalkan dan saiz perkhidmatan awam turut diwajarkan bagi meningkatkan produktiviti dan keupayaan sektor itu.

Ia bertujuan menjadikan perkhidmatan awam bertumpukan rakyat disokong dengan bakat yang lebih berkemahiran, kurang lapisan hierarki dan birokratik, kurang pemusatan kerja dan perkhidmatan lebih mudah dicapai, cekap lagi berkesan untuk rakyat.

Dalam pada itu, Ali berkata, penjawat awam yang mempunyai markah indeks prestasi di bawah 60 diberi kursus latihan kerja semula selama enam bulan, kemudian diberi peluang bertugas enam bulan sebelum dinilai semula dan diberikan enam bulan lagi sebelum mereka boleh diberhentikan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata, pada 2013, 399 kakitangan awam dikesan melakukan pelbagai kesalahan dan 132 daripadanya dikenakan tindakan disiplin, dibebaskan (200) dan tujuh masih dalam perbicaraan.

Disiarkan pada: December 3, 2015 @ 5:38am
d