mutakhir

Elektrik RM13j

Oleh Fakhrurrazi Usuldin

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membelanjakan kira-kira RM13 juta setahun untuk perbelanjaan bil elektrik bagi tiga bangunannya iaitu Menara DBKL 1 dan 2 di Jalan Raja Laut dan Menara DBKL 3 di Jalan Raja Abdullah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, untuk mengurangkan jumlah itu, DBKL memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia untuk mengkaji semula penggunaan tenaga bangunan DBKL dan mencari kaedah mengurangkan kos elektrik.

“Jika dapat berjimat 30 peratus pun itu sudah baik,” katanya selepas menandatangani MoU antara DBKL dan SEDA di pejabatnya di sini, semalam.

SEDA diwakili Pengerusinya Datuk Yee Moh Chai.

Mhd Amin berkata, penghawa dingin antara yang paling banyak menggunakan elektrik di Menara DBKL.

“Saya sudah mengarahkan jabatan berkaitan untuk mengurangkan penggunaan kepada 22 hingga 24 darjah celsius saja,” katanya.

Sementara itu, Yee berkata, SEDA akan melakukan kajian terhadap penggunaan tenaga di Menara 1 DBKL yang akan bermula sebaik saja MoU itu ditandatangani.

“Kajian itu boleh mengambil masa sehingga tiga tahun untuk memastikan apakah aspek yang perlu diperbaiki dari sudut kecekapan penggunaan tenaga di Menara DBKL 1 khususnya elektrik.

“Hasil kajian itu nanti akan diserahkan kepada DBKL untuk melaksanakan cadangan yang dikemukakan supaya dapat meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di Menara DBKL 1 seperti memasang panel solar di atas bumbung bagi menjimatkan elektrik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mhd Amin berkata, tiada keperluan untuk beliau mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Datuk Keramat yang membantah projek kondominium di situ.

“Saya sudah mengarahkan Jabatan Perancang Ekonomi dan Pembangunan DBKL untuk bertemu dengan penduduk.

“Kalau mereka mahu berjumpa saya juga, boleh datang ke pejabat saya,” katanya.

Pada Oktober lalu, media melaporkan segelintir penduduk Kampung Datuk Keramat mengadakan bantahan projek kondominium mewah bersebelahan Masjid Khalid Al-Walid yang didakwa tidak memberi manfaat kepada penduduk setempat kerana akan dijual dengan harga mencecah RM800,000 seunit.

Disiarkan pada: December 3, 2015 @ 5:52am
d