mutakhir

16 malam penuh keajaiban

Oleh Hamizah Badiran

Bagi mereka yang menggemari silap mata, ilusi, komedi dan muzikal, kunjungi Sunway Lagoon Amphitheatre pada Sabtu hingga 20 Disember ini untuk menyaksikan aksi memukau bertaraf dunia daripada pakar silap mata, TRIKSTARS.

Diterbitkan oleh penerbit teater terkenal di peringkat antarabangsa, Dion and Randall International, mereka akan membawakan enam pakar silap mata dan ilusi yang hebat dari serata Las Vegas dan Eropah untuk memberikan persembahan menakjubkan yang bakal memukau seluruh penonton.

Turut menyertai kemeriahan ini ialah Sylvester The Jester, ahli silap mata dari Amerika Syarikat yang terkenal dengan aksi melakonkan satu watak kartun yang dijelmakan ke dunia realiti dan King Charles Troupe membabitkan kumpulan lelaki muda yang bermain permainan bola keranjang bertenaga tinggi sambil mengayuh ‘unicycle’ dengan gaya ‘Razzle Dazzle’.

Jauh dari Belanda, TRIKSTARS juga membawakan juara silap mata dunia dan pemenang pelbagai anugerah silap mata berprestij, Nightmares serta Sebastian dan Kristina dari Hungary.

Pengurus Besar Sunway Lagoon, Sean Choo berkata, sebagai sebuah destinasi keriangan Asia, pihaknya berbangga dapat membawakan semua pakar silap mata ini ke Malaysia untuk meraikan akhir tahun dengan penuh keajaiban.

“Seiring dengan cuti-cuti Malaysia, kami ingin menjemput orang ramai menikmati pelbagai hiburan yang menakjubkan di sini tanpa perlu pergi jauh.

“Kami percaya TRIKSTARS sesuai sebagai acara penutup yang menarik buat kami di Sunway Lagoon pada tahun ini, sambil kita menantikan pelbagai perkara yang lebih hebat pada 2016 nanti,” katanya.

Persembahan gilang-gemilang selama 90 minit itu bersedia menghiburkan penonton dari semua peringkat umur dengan 14 persembahan setiap hari Rabu hingga Isnin bermula dari jam 8 malam.

Harga tiket untuk menyaksikan TRIKSTARS bermula daripada RM70 untuk kanak-kanak dan RM100 untuk dewasa. Tiket boleh ditempah di ticketcharge.com. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sunway Lagoon ditalian 03-5639 0000 atau layari laman web Sunway Lagoon di www.sunwaylagoon.com atau halaman Facebook, www.facebook.com/SunwayLagoonMalaysia.

Disiarkan pada: December 3, 2015 @ 5:56am
d