mutakhir

Muhyiddin tetap hadir

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap hadir Perhimpunan Agung parti itu minggu depan dan akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) tidak membenarkannya berucap seperti lazimnya.

“Insya Allah (saya hadir). Saya Timbalan Presiden lagi,” katanya ditemui media di lobi Menara Dato’ Onn, di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, beliau mahu menyampaikan amanat kepada perwakilan dan ketiga-tiga sayap parti iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri namun akur apabila dimaklumkan tidak dibenar berucap serta terbabit dalam sesi penggulungan.

“Jadi saya jadi ‘tunggul’ saja duduk di atas pentas. Orang lain boleh bercakap, Timbalan Presiden tidak boleh bercakap.

“Tapi saya hormati kehendak akar umbi hari ini, mahu menunjukkan bahawa kalau di atas tidak boleh bercakap, di bawah harus boleh bercakap. Kalau kedua-duanya tidak boleh bercakap, apa makna demokrasi,” katanya.

Muhyiddin hadir jam 2 petang semalam bagi menyatakan sokongan terhadap sembilan pemimpin UMNO cawangan dari Bahagian Telok Kemang, Negeri Sembilan dipanggil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin UMNO.

Beliau disambut bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng Datuk Hamidah Osman dan bekas ahli Pergerakan Wanita UMNO cawangan Padang Matsirat, Langkawi, Anina Saadudin yang dipecat sebelum ini.

Muhyiddin berkata, beliau berpendapat mereka mempunyai hak menyuarakan sesuatu difikirkan penting untuk didengar pimpinan.

“Mungkin tidak sedap didengar tapi perkara benar dan hak itu perlu dinyatakan.

“Di atas dasar itu, saya berikan sokongan dan berharap pihak Lembaga Disiplin beri pertimbangan bijaksana, menganalisis apa sebab keadaan itu timbul dan tidak mudah menghukum hanya kerana menyuarakan sesuatu yang agak berbeza daripada dikehendaki oleh ramai pemimpin di atas,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2015 @ 5:58am
d