mutakhir

Sembur serbuk cili

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Dua penjenayah dikesan mencipta ramuan serbuk cili khas yang sengaja disemburkan ke mata mangsa ketika melakukan rompakan.

Suspek turut membawa bersama sepucuk pistol mainan palsu bagi menakut-nakutkan mangsa yang ditemui berjalan bersendirian.

Kegiatan jenayah suspek bagaimanapun ditumpaskan polis selepas anggota polis peronda mengesan kelibat penjenayah di Jalan Persiaran Kewajipan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, suspek lelaki berusia 31 dan 36 tahun itu berjaya ditahan polis selepas berlaku pergelutan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Lee Swee Meng berkata, suspek yang menunggang motosikal model Yamaha LC135 melarikan diri sejurus diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Polis mengejar suspek sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum motosikal yang dinaiki suspek terbabas.

“Berlaku pergelutan antara suspek dan polis sebelum mereka berjaya ditahan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, semalam.

Disiarkan pada: December 4, 2015 @ 6:31am
d