mutakhir

Peruncit tak makan saman

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Segelintir peruncit di Lembah Klang dan beberapa bandar utama di negara ini dikesan menjual rokok murah jenama tempatan di bawah harga minimum yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bertujuan melariskan jualan.

Rokok murah jenama tempatan berkenaan sepatutnya dijual pada harga lebih RM9 iaitu harga minimum yang ditetapkan kerajaan bagi sekotak rokok 20 batang dan tiada rokok yang boleh dijual di bawah harga berkenaan.

Pelaksanaan harga rokok minimum ini diperkenalkan bertujuan untuk menggalakkan rakyat negara ini supaya tidak merokok, sejajar pelbagai kempen dan program yang dijalankan kerajaan untuk memerangi tabiat itu.

Namun, tinjauan Harian Metro di beberapa kedai runcit di ibu negara mendapati ada peruncit sewenang-wenangnya menjual rokok murah jenama tempatan di bawah harga minimun. Malah, harga jualan pula jauh lebih murah iaitu antara RM3.50 dan RM5 sekotak.

Harga murah itu juga menimbulkan persoalan, sama ada rokok jenama tempatan berkenaan membayar duti eksais rokok kepada kerajaan. Jika duti terbayar, sudah pasti rokok jenama tempatan berkenaan tidak dapat dijual pada harga berkenaan yang dianggap terlalu murah dan merugikan dari segi perniagaan.

Dalam tinjauan sama di beberapa lokasi panas penjualan rokok murah jenama tempatan berkenaan di Pantai Dalam, Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Bangsar dan Keramat mendapati jenama rokok itu bebas dijual peruncit tanpa berasa bimbang akan dikenakan tindakan.

Wartawan Harian Metro turut melakukan penyamaran untuk membeli rokok murah berkenaan bagi membuktikan rokok itu dijual di bawah paras harga minimum.

Sebuah kedai runcit yang di luarnya tertera papan tanda menjual alat telekomunikasi di Keramat, di sini didapati bukan saja menjual rokok seludup, malah turut menjual rokok murah jenama tempatan.

Antara rokok dijual itu terdapat satu jenama tempatan dikilangkan di negara ini yang sepatutnya dijual pada harga lebih RM9, tetapi dijual pada harga di bawah paras harga minimum yang ditetapkan.

Berikut antara perbualan antara wartawan dan peruncit terbabit:

Wartawan: Berapa harga sepeket rokok jenama ************?

Peruncit: RM3.60 (seperti harga dipamer di rak rokok)

Wartawan: Berapa harga sekarton?

Peruncit: Kami tak jual sekarton sebab sampai di kedai dalam bungkusan sepeket.

Apabila wartawan mahu membeli lapan peket rokok berkenaan, peruncit berkenaan pergi ke arah belakang sebelum membawa bersama jumlah rokok yang diminta dan memaklumkan dia baru mengetahui harga rokok terbabit sudah dinaikkan RM6 sekotak.

Apa yang menjadi persoalan, harga untuk jenama rokok berdaftar secara sah itu juga didapati tidak selaras antara lokasi.

Sebagai contoh di sebuah outlet Bangsar dijual pada harga RM5 sepeket manakala di Keramat pada harga RM6, malah berdasarkan pemantauan wartawan dengan peruncit di Keramat mendapati perbezaan harga itu dikawal sepenuhnya peruncit.

Untuk rekod, kira-kira 80,000 peruncit menjual rokok di Malaysia.

Disiarkan pada: December 4, 2015 @ 6:39am
d