mutakhir

Buang kerja!

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya empat pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberhentikan kerja untuk tempoh Januari hingga Oktober tahun ini selepas melakukan pelbagai kesalahan disiplin hingga boleh menjejaskan reputasi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosial Ekonomi DBKL Datuk Normah Malik berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam menerusi kiriman video dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter berkaitan salah laku penguat kuasa dan kakitangannya.

Beliau berkata, tindakan itu sekali gus menunjukkan DBKL tidak berkompromi terhadap penguat kuasa atau kakitangan yang melakukan kesalahan termasuk mengambil rasuah atau tidak mengikut standard operasi yang ditetapkan.

“Selain memberhentikan kakitangan atau penguat kuasa, DBKL turut mengambil tindakan terhadap tiga individu lain dengan menolak gaji mereka kerana melanggar disiplin.

“Aduan dan cadangan yang diterima daripada orang awam berkaitan salah laku penguat kuasa dan kakitangan DBKL dipandang serius demi memperbaiki mutu perkhidmatan kami supaya tiada pihak teraniaya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Penguat Kuasa Skuad 19 2015, semalam.

Pada majlis itu, seramai 55 pelatih menamatkan latihan masing-masing dengan penekanan diberikan dalam memantapkan disiplin, sikap dan tingkah laku ketika melaksanakan tanggungjawab.

Normah berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan cara kerja dan tingkah laku pegawai penguat kuasa dalam melaksanakan operasi atau pemantauan seperti merobohkan struktur bangunan atau mengambil tindakan terhadap peniaga kecil supaya tidak melanggar tatatertib hingga menjadi viral di laman sosial.

“Sekarang ini semua tindakan pegawai penguat kuasa PBT pasti dipandang masyarakat terutama ketika menjalankan operasi sekali gus menuntut kita lebih berhemah ketika melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, DBKL akan membina pusat latihan bernilai RM57 juta yang dilengkapi pelbagai kemudahan khusus kepada pegawai penguat kuasa selain memudahkan pengoperasian mereka.

“Pusat latihan itu akan mula dibina Jun tahun depan di tanah seluas 3.24 hektar bersebelahan Institut Latihan Dewan Bandaraya (IDB) dengan semua 1,585 pegawai penguat kuasa dipindahkan ke bangunan terbabit nanti.

“Antara kemudahan disediakan ialah padang kawad, stor simpanan, tempat meletakkan kenderaan serta pusat latihan dan dijangka siap 2018,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2015 @ 6:50am
d