mutakhir

Sanubari 60 pengkarya

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kuala Lumpur: “Impian ahli Kelab Seni Lukis Hulu Langat (KSLHL) untuk mempamerkan hasil karya ke peringkat yang lebih tinggi akhirnya tercapai,” kata Presiden KSLHL Mustafa Yahya.

Mustafa berkata, pihaknya sentiasa berusaha mengetengahkan bakat pelukis dari luar bandar kerana hasilnya tidak kurang hebat berbanding pelukis terkenal.

“Sehubungan itu, peluang mempamerkan lukisan di Galeri Lukisan Balai Berita The New Straits Times (M) Berhad (NSTP) amat dinantikan kami,” katanya pada pameran lukisan di Galeri Lukisan Balai Berita NSTP, di sini, semalam.

Seramai 10 ahli KSLHL berpeluang mempamerkan 60 lukisan bertemakan ‘Indahnya Ekspresi’ bermula 1 sehingga 31 Disember ini.

Mustafa berkata, KSLHL bukan saja berperanan menghimpunkan karya seni berkualiti daripada penduduk luar bandar, malah berfungsi dalam menyatupadukan semua kaum.

“Matlamat kelab tidak terhad kepada kegiatan melukis semata-mata, namun kita mahu menjadi pusat mengumpulkan peminat dan pelukis dalam satu kumpulan sebagai pentas interaksi.

“Melalui bantuan daripada sektor korporat seperti NSTP, saya percaya pelukis luar bandar mampu berdiri setanding dengan pelukis antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, kawasan Hulu Langat mempunyai anugerah alam semula jadi memberi cetusan ilham menghasilkan karya menarik.

“Kebanyakan pelukis merasai sendiri keindahan alam sekeliling sebelum menterjemahkannya ke dalam bentuk lukisan,” katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2015 @ 5:21am
d