mutakhir

Masih bebas

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Kumpulan penjenayah bersenjata api yang menyamun wang tunai RM1.4 juta daripada empat lelaki dipercayai ejen jual beli emas di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan dekat sini, Rabu lalu masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan rapi berhubung kes itu terutama mengenal pasti identiti lima suspek yang terbabit dalam kejadian samun itu.

“Setakat ini tiada perkembangan lanjut kes samun membabitkan kerugian wang tunai RM1.4 juta itu.

“Belum ada sebarang tangkapan dan kelima-lima suspek belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 malam, lima suspek menaiki Toyota Vios dan Honda Civic mengepung kereta mangsa dari belakang dan depan.

Sementara itu, rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai kejadian samun itu tersebar dan viral di laman Facebook sejak awal pagi semalam.

Disiarkan pada: December 5, 2015 @ 5:50am
d