mutakhir

Pusing keliling KL

Oleh Umar Mohd Tawil

Kuala Lumpur: Kebanyakan ibu bapa tidak melepaskan peluang membawa anak-anak berkunjung ke tempat menarik di sekitar ibu kota bagi mengisi masa lapang sepanjang musim cuti persekolahan yang sudah masuk minggu ketiga ini.

Antara tempat yang paling digemari dan sering dikunjungi adalah Taman Suria KLCC, Petrosains, Planetarium Negara, Zoo Negara dan Taman Burung.

Tinjauan Harian Metro di sekitar ibu kota mendapati kebanyakan pengunjung adalah ibu bapa yang datang dari seluruh negara membawa anak-anak untuk beriadah dan menimba ilmu dengan cara lebih menyeronokkan.

Jururawat hospital kerajaan Munirah Mohd Akhir, 37 berkata, cuti umum adalah masa terbaik untuknya meluangkan masa bersama keluarga melawat tempat menarik dengan membawa anak-anak mandi-manda di taman rekreasi KLCC.

“Anak saya sangat gembira selepas dapat mandi di sini. Di samping itu, saya turut membawa mereka ke Petrosains berkonsepkan sains berhibur sambil menimba ilmu.

“Kerja sebagai jururawat sentiasa sibuk, jadi masa terluang untuk bersama anak-anak dan suami tidak menentu, saya mengambil cuti tahunan untuk menghabiskan masa dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, dia sanggup datang ke Kuala Lumpur dari Jitra, Kedah yang mengambil masa enam jam demi menunaikan hasrat anak-anaknya yang mahukan percutian di ibu kota.

Guru, Norfarhida Mohd Khalid, 33 berkata, dia membawa keluarganya melawat Taman Rama-Rama bagi memberi pengetahuan secara tidak formal.

“Pelbagai spesies rama-rama yang terdapat di taman itu mampu memberi pengalaman indah terutama apabila dikelilingi beratus-ratus jenis rama-rama yang berwarna-warni.

“Selepas puas melihat rama-rama berterbangan di sekeliling laman yang dipenuhi bunga-bungaan, kami melihat pelbagai jenis reptilia seperti kala jengking dan ular, burung kasuari, harimau dan labi-labi,” katanya.

Katanya, tarikan utama yang menyeronokkan adalah melihat binatang secara dekat dan mengabadikan gambar bersama iguana, ular dan burung kakak tua.

Pegawai ladang Mohd Zaid Omar, 35 berkata, percutian bersama keluarga adalah platform untuk mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

“Kebanyakan kanak-kanak kini lebih banyak menghabiskan masa bersama gajet sehingga menjadi ketagih dengan alat yang boleh mengurangkan hubungan bersemuka antara ibu bapa dan anak-anak.

“Sebagai ibu bapa, kami perlu menggunakan masa berkualiti dengan anak masing-masing dalam persekitaran luar rumah yang unik di tempat menarik sambil memisahkan mereka daripada gajet masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2015 @ 7:36am
d