mutakhir

Solat cetus ilham puisi

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Pasir Mas: Seorang pesara guru warga emas berjaya menghasilkan 3,500 pantun, sajak dan puisi malah menyimpannya sejak zaman kanak-kanak lagi.

Guru itu, Syed Halim Jamalullail, 77, mengakui memperoleh ilham untuk mengarang karya itu ketika menunaikan solat.

“Idea biasanya banyak terbit ketika saya bersolat terutama ketika sedang membaca surah al-Fatihah.

“Saya tidak pernah meninggalkan amalan menulis pantun, sajak dan puisi meskipun sibuk ketika menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru hinggalah selepas bersara,” katanya.

Dia yang berasal dari Arau, Perlis berkata, penulisan karya begitu sudah dimulakan sejak berusia 11 tahun lagi kerana minat mendalam dan bersandarkan persekitaran yang banyak memberikannya idea.

“Saya minat menulis kerana boleh meluahkan pelbagai idea termasuk kejadian yang berlaku terutama ketika negara kita dijajah.

“Setiap satu perkataan banyak makna tersurat dan tersirat, untuk memberi mesej kepada pembaca, mesej yang positif seperti bangkit berusaha dalam mencapai kejayaan.

“Paling istimewa, apabila saya dapat menghasilkan sajak untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu yang berjudul “Ada Sementara Tiada.”

“Ini karya paling bermakna buat saya yang bermaksud pemimpin negara itu sentiasa di hati rakyat walaupun beliau jauh daripada pandangan rakyat atau tiada di dalam negara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dangar.

Syed Halim berkata, dia masih belum berkesempatan mempersembahkan sajak itu kepada Perdana Menteri dan berharap dapat mengirimkannya sebagai hadiah buat pemimpin nombor satu negara itu.

“Saya menulis untuk kepuasan sendiri, keluarga dan pelajar saya dan saya akan terus berkarya selagi termampu.

“Memang banyak karya yang sudah saya hasilkan, namun masih belum mempunyai peluang untuk membukukannya.

“Saya tidak mahu dihargai atau dijulang kerana karya ini, cukuplah bahan penulisan saya memberi maklumat berguna kepada pembaca,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2015 @ 7:50am
d