mutakhir

Maut dihempap pokok pisang

Kuala Pilah: Sangkaan seorang wanita kemungkinan ibunya tertidur dalam pondok di kebun getah Kampung Tulang Rimau, Dangi di sini, selepas tidak pulang ke rumah meleset apabila menemui ibunya mati dihempap pokok pisang.

Difahamkan, mayat mangsa, Tyiw Lan@Chong Mook Lan, 69, ditemui telentang dengan bahagian dadanya dihempap pokok pisang.

Sumber berkata, anak perempuan mangsa yang berusia 44 tahun menyedari ibunya tidak pulang ke rumah apabila dia ke rumah warga emas terbabit di Taman Tunku, Tampin, dekat sini, kelmarin.

“Anak mangsa yang tinggal di Puchong, Selangor mahu menziarahi ibunya, namun sebaik sampai dia mendapati ibunya tiada di rumah, jam 11 pagi.

Katanya, dia menemui basikal ibunya ditinggalkan di hentian bas Tampin dan mengesyaki ibunya pergi ke kebun getah terletak di Kampung Tulang Rimau dan mungkin tertidur dalam pondok di kebun berkenaan.

“Anak mangsa memberitahu ibunya berulang-alik dari rumah ke kebun getah dengan menaiki bas setiap hari dan akan pulang semula jam 2 petang. Bagaimanapun, semalam (kelmarin) ibunya tidak pulang sehingga malam,” katanya.

Sumber berkata, bimbang kejadian buruk menimpa mangsa, anaknya ke Balai Polis Dangi, di sini, membuat laporan polis untuk mengesan mangsa.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bersama anak mangsa ke kebun getah berkenaan dan terhidu bau busuk sebelum menemui mayat mangsa telentang dihempap pokok pisang.

“Tidak jauh daripada penemuan mayat itu, polis turut menemui parang dipercayai milik mangsa. Mangsa dipercayai meninggal dunia empat hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Luqman Abd Rahman mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, hasil siasatan awal tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, untuk dibedah siasat.

Disiarkan pada: December 7, 2015 @ 7:59am
d