mutakhir

95,000 ikan terlepas

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Tahun lalu, seorang penternak ikan di Bunut Payong, di sini, kerugian RM100,000 apabila ikan keli, patin dan tilapia diternak dalam 20 sangkar terjejas akibat bencana banjir.

Abdullah Sulaiman, 63, berkata, ketika itu, 60,000 ikan patin, 20,000 ikan keli dan 15,000 ikan tilapia terlepas daripada sangkar selepas lima kolamnya ditenggelami air bah.

Sebagai persediaan banjir, dia mempersiapkan beberapa kaedah mengelak kerugian ebih besar seperti tahun lalu.

“Tahun lalu saya tak jangka berdepan banjir yang besar menyebabkan sukar menyelamatkan ternakan saya.

“Saya akui trauma kerana rugi teruk apabila ikan terlepas dan ada yang mati. Hujan lebat dan air pasang besar ketika itu menyebabkan 95 peratus tempat pemeliharaan ikan saya musnah.

“Jadi, kali ini saya lebih bersedia menghadapi bencana lain walaupun ketika awal tahun, sudah tidak yakin meneruskan perniagaan ini,” katanya.

Abdullah yang mengusahakan penternakan itu bersama dua anak, Azizul Azhar, 40, dan Fadli, 25, berkata, sebahagian ikan yang matang sudah dijual kepada peraih ikan di Wakaf Che Yeh dan Pasar Besar Siti Khadijah.

Katanya, dia tidak menyimpan stok ikan yang banyak di dalam sangkar kerana bimbang tragedi sama berulang dan memasang jaring mengelak terlepas.

“Harga ikan dijual, antara RM4.30 dan RM4.50 bagi ikan keli, tilapia dan patin.

“Sekurang-kurangnya dengan menjual ikan yang matang dan menyimpan induk serta benih di tempat selamat, saya tidak menanggung kerugian teruk seperti tahun lalu,” katanya.

Sejak memulakan kembali projek ternakan itu, Jun lalu, dia hanya membina empat sangkar ikan saja dengan kos RM20,000 termasuk belian benih ikan baru dan makanan.

Disiarkan pada: December 8, 2015 @ 8:15am
d