mutakhir

Fahami ekonomi keluarga

Oleh Fakhrurrazi Usuldin

Kuala Lumpur: Pengetahuan mengenai pengurusan kewangan rumah tangga perlu diberi penekanan lebih mendalam untuk pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

Pensyarah Kanan Kulliyyah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Zaharuddin Abdul Rahman berkata, perkara itu perlu ditekankan kepada pasangan yang ingin berkahwin supaya tidak terjerumus dalam masalah kewangan selepas bernikah.

“Untuk pasangan Muslim, penerangan mengenai punca pendapatan yang halal perlu difahami terutama oleh suami supaya rezeki yang diperoleh mempunyai keberkatan,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, semalam.

Zaharuddin yang juga penasihat kewangan Syariah Bank Negara berkata, pasangan yang baru berkahwin juga perlu melengkapkan diri dengan pengurusan hutang kerana cara mengurus kewangan yang buruk antara faktor menyebabkan berlakunya perceraian.

“Sebab itu perlunya ilmu pengurusan kewangan ditekankan dalam kursus perkahwinan kerana tabiat orang kita yang tidak gemar menghadiri taklimat atau mendalami ilmu ekonomi, jadi dari ilmu yang diajar itu boleh melengkapkan pasangan berkenaan sebelum menempuh alam perkahwinan,” katanya ketika diminta mengulas cadangan agar pengurusan kewangan turut dimuatkan sebagai modul dalam kursus perkahwinan.

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Baayah Baba berkata slot pengurusan kewangan dalam kursus perkahwinan perlu ditambah baik untuk memberi kefahaman kepada generasi muda mengenai cara mengurus ekonomi rumah tangga.

“Pasangan yang bakal berkahwin perlu berterus terang dengan pasangan mengenai segala tanggunggan termasuk bebanan hutang individu.

Kena selidik juga kemampuan kewangan pasangan kerana akan timbul masalah selepas kahwin apabila bebanan kewangan lampau boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga,” katanya.

Baayah yang juga penganalisis ekonomi berkata, kursus perkahwinan perlu menekankan persoalan kewangan keluarga kerana cabaran ekonomi yang tidak menentu sedang melanda negara.

“Nasihat saya, kalau hendak berkahwin ukurlah baju di badan sendiri dan mengikut kemampuan kewangan, jangan hanya mahu dilihat megah tetapi akhirnya terpalit dengan hutang selepas bernikah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Operasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Nor Fazleen Zakaria berkata AKPK sedang berkerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menambah baik slot pengurusan kewangan rumah tangga.

“Slot kewangan dalam kursus perkahwinan sebelum ini memang sudah ada cuma ia singkat dan tidak menyeluruh.

“Jadi AKPK sudah berbincang dengan Jakim mengenai perkara ini dan mereka akan menyemak kembali slot pengurusan kewangan untuk dimantapkan pada masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, Nor Fazleen menasihatkan pasangan yang bakal berkahwin merancang perbelanjaan untuk jangka masa panjang.

“Buat majlis yang sederhana, elakkan berhutang semata-mata untuk berkahwin dan fikirkan juga perancangan kewangan untuk perbelanjaan selepas majlis perkahwinan,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2015 @ 8:35am
d