mutakhir

Bongkar fakta tersembunyi

Kuala Lumpur: Sarjana tempatan perlu ke luar negara membuat kajian terperinci mengenai Laksamana Hang Tuah untuk membuktikan kewujudan pahlawan Melayu itu berdasarkan fakta ‘tersembunyi’ di seluruh dunia, sekali gus menolak dakwaan ia hanya mitos.

Pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, walaupun sering diberitahu sejarah negara banyak tersimpan di luar negara, namun tidak ramai sarjana tempatan yang sanggup dan berpeluang membuat kajian di sana disebabkan kekangan bahasa serta kewangan.

“Kerajaan perlu memberi geran dan galakan kepada sarjana tempatan untuk membuat kajian lanjut mengenai sejarah negara termasuk catatan berkaitan Laksamana Hang Tuah yang banyak tersimpan di luar negara.

“Negara kita agak ketinggalan dari segi sejarah dan geografi berbanding negara maju lain kerana ada beranggapan ia tidak penting, sedangkan ia tunjang jati diri kita untuk menyemai semangat patriotik dan sebab itu kita tengok golongan muda kini ramai tidak sedar kepentingan sejarah serta asal usul mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai kesahihan kewujudan Laksamana Hang Tuah, Khoo berkata, masyarakat tidak boleh bergantung kepada hikayat semata-mata dan memerlukan bahan bukti yang boleh diuji bagi menentukan kebenarannya.

“Kita perlu ada bukti rekod sezaman yang boleh diterima bagi membuktikan kewujudan Laksamana Hang Tuah, jadi sarjana tempatan perlu ke luar negara membuat kajian ini kerana manuskrip mengenai sejarah negara banyak tersimpan di serata dunia.

“Setakat yang saya tahu, bahan mengenai Laksamana Hang Tuah ada juga di New Delhi, India tetapi tidak ada sarjana tempatan pergi ke sana membuat kajian.

“Di China pula, ada disebut seorang laksamana Melayu pernah ke sana dan besar kemungkinan merujuk kepada Hang Tuah,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikan di dalam negara sahaja tidak mencukupi kerana ia bergantung kepada sumber lisan dan buku sejarah yang tidak lengkap seperti tiada tarikh berbanding manuskrip luar negara yang ditulis dengan teliti serta lengkap termasuk ada tersimpan rapi di perpustakaan utama dunia.

Baru-baru ini, dua penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menemukan tiga sumber utama untuk membuktikan kewujudan pahlawan Melaka, Laksamana Hang Tuah sebagai satu sejarah dan bukan kisah dongeng.

Profesor Linguistik Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM Prof Emeritus Dr Hashim Musa dan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu dari fakulti sama Dr Rohaidah Kamaruddin menemui satu dokumen dan satu artifak diterima daripada kerajaan Ryukyu (kini Okinawa) di Jepun serta satu dokumen dari Portugal.

Disiarkan pada: December 8, 2015 @ 9:28am
d