mutakhir

Logo ringkas, dua warna

Kuala Lumpur: “Selepas membuat sedikit penyelidikan, saya berpendapat sesebuah logo organisasi perlu berteraskan konsep moden dan minimal supaya selari dengan era digital kini,” kata pelajar jurusan Diploma Reka Grafik Kolej Inti Ong Rui Hong.

Ong antara 25 pelajar jurusan sama yang bertuah apabila terpilih sebagai pemenang pertandingan mencipta logo Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA), Ogos lalu.

Menurut Ong, dia tidak menyangka rekaannya terpilih kerana rakan sekelasnya yang lain turut menyumbangkan idea bernas dan kreatif bagi pertandingan berkenaan.

“Cabaran menyertai pertandingan ini saya perlu memikirkan rekaan paling ringkas dan mudah untuk diingati oleh mereka yang melihatnya.

“Tambahan pula, saya dimaklumkan untuk mereka logo kedua bagi MNPA selepas 44 tahun penubuhannya dan saya mahu lakukan yang terbaik.

“Jadi, saya membuat keputusan menggunakan dua warna saja iaitu merah dan hitam yang melambangkan kuasa dan profesionalisme,” katanya pada sidang media pengumuman logo baru MNPA, di sini, semalam.

Ong membawa pulang piala dan hadiah wang tunai RM500 yang disampaikan Presiden MNPA Datuk Mohammad Azlan Abdullah.

Mohammad Azlan berkata, sudah tiba masanya MNPA mengorak langkah ke hadapan dengan menyampaikan laporan berita dengan lebih kreatif setanding perkembangan teknologi kini.

“Saya percaya industri percetakan masih relevan pada masa kini biarpun wujud banyak saingan dalam talian, namun ia memerlukan usaha dan kerja keras daripada pengamal media,” katanya.

“MNPA menjangkakan bermula tiga suka pertama tahun depan, pihak pemasaran akan mendekati golongan belia untuk mendedahkan mereka dengan hal ehwal penerbitan, sekali gus dapat menjadi persiapan awal sebelum melangkah ke alam kerjaya dalam media kelak,” katanya.

tamat

Disiarkan pada: December 9, 2015 @ 8:15am
d